Pemandangan dari puncak bukit. |
Sekiranya anda berada di Kedah, salah satu destinasi menarik adalah Tasik Ahning. Ianya terletak di Padang Sanai, di sebelah utara Kedah. Jalannya adalah jalan yang sama untuk ke Durian Burung dari Kuala Nerang. Cuma di Padang Sanai, anda akan membelok ke jalan yang membawa anda ke pejabat MADA.
Untuk sampai ke sana, anda perlu mendaki bukit yang bersebelahan dengan pejabat MADA tersebut. Tetapi hanya kenderaan pacuan 4 roda dan motosikal yang mampu melalui jalan tersebut. Jalannya tidak rata dan terdapat lubang lubang yang tidak sesuai untuk kenderaan biasa.
Setelah mendaki dua bukit yang mengambil masa hanya 30 minit, anda akan sampai di puncak bukit dan anda akan nampak pemandangan tasik yang indah di bawah. Ini adalah peluang untuk fotografi yang tidak boleh di tolak. Masa yang sesuai untuk ini adalah di sebelah petang supaya matahari berada di belakang anda.
Terdapat pelbagai haiwan liar yang dapat anda lihat. Saya telah bertembung dengan lotong, kera, beruk dan pelbagai burung. Pernah saya berdiri di tepi gaung dan sekumpulan burung Enggang terbang dari bawah ke atas bukit tempat kami berhenti rehat.
Meneruskan perjalanan ke tasik, cuma terus mengikuti jalan tersebut menurun bukit. Anda akan sampai ke tasik selepas 20 minit kemudian.
Dari puncak bukit semasa menurun ke tasik. |
Anda perlu berhati hati kerana anda berada di dalam hutan sepenuhnya. Tidak ada hotel, kedai makan ataupun sebarang penempatan. Kedai minyak terakhir adalah di Kuala Nerang, sebaiknya isilah minyak kenderaan sepenuhnya di situ. Begitu juga dengan air dan makanan. Perlulah di bawa secukupnya.
No comments:
Post a Comment