Pages

Dapatkan buku percuma dari Lightscaper Books...Landscape Photography: Waterfalls

Kulit buku

Jika anda berminat untuk mempelajari fotografi, khususnya mengenai airterjun, dapatkan ebook percuma ini. Kami menyediakan pelbagai tips untuk mengambil gambar merangkumi kesemua jenis kamera kecuali handphone. Senang untuk difahami, cuma baca dan cuba. Ini adalah penerbitan sulung dari Lightscaper Books. Banyak lagi yang akan diterbitkan ke hadapan ini.

Salah satu dari mukasurat


Senang saja untuk dowload. Tak payah e-mel atau isi apa apa pun. Tekan saja butang kat bawah. Selamat membaca dan terimakasih dari kami.


Komposisi Kreatif Mengambil Foto Pemandangan "Sunset".

Terdapat pelbagai cara untuk menghasilkan gambar sunset atau gambar matahari terbenam. Kadangkala, kita tidak perlu mempunyai matahari di dalam komposisi tersebut. Yang penting adalah suasana dan rasa yang hendak di sampaikan melalui imej tersebut.

Lokasi: Tasik Raban, Perak.
Foto di atas memaparkan suasana senja di sebuah tasik. Lampu-lampu mula berkilauan dan terdapat nelayan yang masih mengangkat pukatnya. Saya cuba memaparkan rasa di mana hari sudah berakhir dan kesibukan seorang nelayan dengan pekerjaannya yang juga hampir selesai.

Lokasi: Tasik Raban, Perak
Foto di atas pula adalah di mana matahari telah terbenam di sebalik bukit bukau. Langitnya masih kemerahan di sebelah matahari yang telah terbenam. Suasana yang dipaparkan adalah ketenangan tasik tersebut di waktu senja.

Lokasi: Ampang Jajar, Kedah.
Foto di atas adalah sebuah pemandangan di dermaga kapal. Anda boleh melihat pelbagai bayangan kren dan tiang letrik yang memaparkan sebuah kawasan industri yang sudah berhenti di penghujung hari.


Foto-foto yang saya paparkan adalah sebahagian daripada ratusan cara untuk menghasilkan foto "sunset". Anda hanya perlukan kreativiti dan ikut akan gerak hati anda. Di sinilah imej-imej akan menjadi cara tersendiri (style) anda. Selamat mencuba..

Panduan Mengambil Foto Pemandangan "Sunset" Dan Menetapkan Kelajuan Shutter Speed.

Lokasi: Padang Sanai, Kedah.

Pemandangan indah “sunset” atau matahari terbenam adalah satu keindahan alam yang  di gemari oleh ramai peminat fotografi. Dengan langit kemerahan dan awan-awan pelbagai warna, ianya seperti sebuah lukisan. Dan hanya beberapa minit sahaja untuk menikmati keindahannya sebelum kegelapan menimpa.

Untuk mengambil foto matahari terbenam, bukanlah sesuatu perkara yang rumit. Yang paling penting adalah cuaca itu sendiri. Adakah pemandangan itu menjadi, tanpa halangan seperti awan hujan atau pun jerebu? Sekiranya semuanya tiada permasaalahan, mengambil foto pemandangan matahari terbenam adalah ringkas. Panduan yang saya beri disini adalah bersesuian dengan kamera dslr, kompak dan kreatif kompak. Aksesori yang perlu hanyalah Circular Polarising Filter untuk menghilangkan silau. Kita mulakan dengan meninjau data exif untuk foto di atas:

  • Kamera: Canon EOS 300D
  • Aperture: F5.6
  • ISO: 125
  • Shutter Speed: 1/200 saat
  • Zoom: 150mm
  • Metering Mode: Evaluative 
  • White Balance: Auto

Untuk foto diatas, saya menggunakan setting “Full Auto” sahaja kerana kesuntukan masa. Pilihan exposure kamera adalah sama sahaja jika hendak menggunakan “manual” setting. Exposurenya juga adalah tepat. Tidak perlu dirisaukan kerana pemandangan matahari terbenam mempunyai pencahayaan yang sekata, jadi ini memudahkan pengiraan exposure yang tepat oleh kamera.

Untuk mendapatkan gambar matahari yang besar di dalam imej (foto di bawah), anda mestilah menggunakan lensa zoom, seeloknya yang mempunyai jarak sehingga 200mm. Biarlah matahari ditengah imej, dan zoomkan supaya matahari menjadi lebih besar. Cuma berhati hati dengan mata anda. Jangan memandang terlalu lama.

Untuk memastikan gambar anda tidak kabur (sharp) bila memegang kamera menggunakan tangan, pastikan anda menggunakan shutter speed yang bersesuaian dengan jarak zoom anda. Formula yang saya gunakan adalah 1mm = 1/1 saat. Jika jarak zoom anda adalah 150mm, bermakna 1 saat x 150mm =  1/150 saat minima di perlukan untuk imej yang tidak kabur akibat getaran tangan. Shutter speed di atas adalah 1/200, lebih dari mencukupi untuk tujuan tersebut. Formula ini boleh digunakan untuk penggunaan zoom pada aktiviti lain seperti mengambil gambar burung, sukan dan lain lain. Tetapi jika anda menggunakan tripod, tidak perlu menggunakan formula ini.

 Pantai Murni, Yan, Kedah.
Sekiranya imej anda gelap atau cerah, betulkan keadaan imej dengan menggunakan pembetulan exposure, atau AE bracketing compensation (butang bersimbol +/- ). Tambahkan nilai untuk mencerahkan atau kurangkan nilai untuk menggelapkan. 

Untuk gambar di sebelah, saya gunakan AV setting, menggunakan aperture sebagai penentu exposure.

Data exif:
  • Kamera: Canon EOS 300D
  • Aperture: 6.3
  • ISO: 100
  • Zoom: 170mm
  • Metering: Evaluative 
  • White Balance: Auto

Untuk kamera kompak dan kreatif kompak, panduan di atas boleh digunakan. Untuk kreatif kompak, anda boleh meletakkan aperture antara F2.8 hingga ke F5.6, dan gunakan AE bracketing untuk pembetulan cerah atau gelap kepada imej.

Panduan Menghasilkan Foto Yang "Bokeh" Menggunakan Kamera Kompek.

Bokeh adalah sebuah perkataan dari bahasa Jepun. Ia adalah sebuah pemprosesan imej dimana subjek yang difotokan adalah jelas tetapi mempunyai latarbelakang yang kabur dan licin. Teknik ini biasanya digunakan untuk potret, fesyen dan makro. Lensa makro akan memberikan bokeh yang terbaik kerana sememangnya ia dicipta untuk pemprosesan tersebut. Tetapi, tidak semestinya anda terpaksa bergantung kepada lensa slr untuk bokeh. Teknik ini sebenarnya boleh di hasilkan menggunakan kamera kompek, kreatif kompek dan dslr yang tidak menggunakan lensa macro. 

Subjek yang saya pilih untuk penjelasan teknik bokeh ini adalah bunga orkid kerana ianya mudah untuk difotokan. Kamera kompek yang digunakan adalah Canon Powershot A3000 IS. Pastikan anda menggunakan opsyen "spot metering" pada kamera anda supaya mendapat bacaan exposure bunga yang tepat.


Foto orkid ini di ambil dari jarak yang terdekat. Anda boleh lihat di latar belakang bunga terdapat daun, rumput, tiang sehinggalah rumah jiran saya. Sekarang saya ubahkan zoom kamera  ke tahap maksima.


Sekarang latar belakang menjadi kabur dan lembut. Bunga kelihatan lebih jelas dan bersendiri dari gangguan subjek di latar belakang. Anda boleh mengkaburkan lagi latarbelakang dengan software seperti Photoshop sekiranya mahu.

Teknik "High Shutter Speed" Untuk Mengambil Foto Air Terjun Yang Kreatif..

Lokasi: Air Terjun Lata Bayu, Baling, Kedah.

Antara cara untuk mengambil foto air terjun adalah menggunakan teknik " High Shutter Speed" atau kelajuan shutter yang tinggi untuk membekukan pergerakan air di dalam imej. Jika digarapkan dengan betul, ini boleh menghasilkan imej yang dramatik dan kreatif. Foto-foto yang saya paparkan di sini  mempunyai topik keseronokan kanak-kanak bermain di dalam air terjun yang memercik turun.

Untuk menghasilkan foto seperti di atas. air terjun mestilah laju dan memercik, bukannya mengalir. Pencahayaan adalah penting. Biarlah matahari belum terik sepenuhnya, seperti awal pagi atau lewat petang. Lokasi air terjun juga perlulah mempunyai pencahayaan dari sebelah belakang. Aksesori yang diperlukan adalah:
  • Circular Polarising Filter: untuk menghilangkan kilauan di air dan batu yang basah.
  • Lensa zoom: seeloknya yang boleh zoom sehingga 200mm atau 300mm. Ini memudahkan untuk membuat komposisi dan membolehkan anda berada pada jarak yang selesa supaya barangan dan kamera tidak terkena air.

Exif data: 
  • Kamera: Canon EOS 300D
  • ISO: 100
  • Aperture: F7.1: digunakan aperture yang kecil sedikit supaya depth of field lebih lebar dimana air yang turun dan budak yang mandi di dalamnya jelas.
  • Kelajuan Shutter: 1/160 saat.: kelajuan ini cukup untuk membekukan pergerakan air di lokasi tersebut.
  • Jarak Zoom: 64mm, jarak zoom yang digunakan.

Mulakan dengan meggunakan polarising filter meghilangkan silau yang terdapat di dalam imej melalui kamera. Kemudian ambil imej cubaan untuk memastikan exposure yang betul. Sekarang anda boleh mengambil foto dan batasannya adalah kreativiti anda. Selamat mencuba...

Mengambil Foto Air Terjun Menggunakan Kamera Kompak...

Lokasi: Hutan Rekreasi Bukit Perak, Sungai Tiang, Kedah.
Jika anda menggunakan kamera kompak untuk mengambil foto air terjun, perlulah kita mengetahui akan keupayaan kamera tersebut. Terdapat pelbagai jenama dan model. Dari yang ringkas di mana kawalannya semua automatik hinggalah ke model yang mempunyai kawalan yang manual. Kamera yang saya gunakan di sini adalah Canon Powershot A3000 IS, sebuah model yang murah, cuma RM 399 semasa di pasaran dahulu. Ia adalah model separa automatik di mana anda boleh mengubah kawalan Exposure Value (EV). Ini adalah ciri yang penting untuk mengawal kecerahan atau kegelapan imej yang di ambil. Juga terdapat bacaan Histogram dan kawalan amaran kecerahan dan kegelapan (highlight shadow warning). Ia akan berkelip kelip pada imej di LCD sekiranya terlebih kecerahan ataupun kegelapan.

Apabila menggunakan kamera kompak, tak kira jenamanya, masaalah utama adalah sensor CCDnya. Ia tidak mempunyai kualiti "dynamic range" yang sama dengan kamera dslr. Kesimpulannya, kamera kompak tidak dapat mengawal suasana yang mempunyai kegelapan dan kecerahan yang melampau (contrast) di dalam sesuatu lokasi untuk mengambil foto. Ia memerlukan pencahayaan yang sekata, seperti di dalam rumah atau di studio. Ini tidak bermakna kamera kompak tidak elok digunakan. Ia akan memberikan imej yang baik jika di bawah pencahayaan yang terkawal.

Untuk model Canon ini, hanya terdapat pilihan aperture di antara F2.7 dan F5.6. Ini bermakna anda hanya dapat mengambil foto secara apa yang mampu dihasilkan oleh kamera tersebut, kerana kawalan aperture tidak dapat di ubah oleh pengguna. Kelajuan shutter juga dikawal oleh kamera. Terdapat kawalan ISO secara manual dan automatik. Yang penting adalah pengawalan Exposure menggunakan EV bracketing. Di sini anda dapat mengawal kecerahan dan kegelapan imej. Jumlah kawalan exposure adalah dari -2 (paling gelap) hingga +2 (paling cerah). Terdapat butang pada kamera dengan gambar +/- untuk menggunakannya. 

Ini adalah imej yang pertama di ambil.  Kilauan cahaya di air terjun sebelah bawah telah menggangu exposure. Ini adalah masaalah biasa yang selalu timbul bila menggunakan kamera kompak. Saya mengurangkan EV kepada -1 untuk mendapatkan bacaan yang lebih tepat. Ini adalah berpandu kepada bacaan histogram dan amaran kecerahan (highlight warning) yang terletak pada kamera. Imej terhasil adalah gelap sedikit untuk menampung kecerahan tersebut, tetapi masih tidak mampu untuk menghilangkan kilauan. Berikut adalah bacaan Exif data imej tersebut:

  • ISO 100: di tetapkan secara manual.
  • Exposure: 1/250 saat, kelajuan shutter
  • Aperture F3.5
  • EV -1: untuk mempergelapkan imej.

Untuk menghilangkan masaalah kilauan air yang mengganggu exposure, saya letakkan seorang pemuda di dalam sungai untuk melindungi kilauan tersebut (gambar di atas). Ini membantu mendapatkan bacaan exposure yang lebih tepat dan imej yang terhasil lebih cerah. Bacaan Exif data yang telah berubah:

  • ISO 100
  • Exposure: 1/200 s
  • Aperture 3.5
  • EV -1

Di bawah adalah contoh foto yang mempunyai pencahayaan yang sekata. Kamera yang digunakan adalah Canon Powershot A80.

Lokasi: Air Terjun Lata Lembu, Sik, Kedah.


Panduan Mengambil Foto Air Terjun Menggunakan Teknik "Slow Shutter".

Lokasi: Hutan Lipur Ulu Paip, Kulim, Kedah.
Mengambil foto air terjun adalah satu cabaran yang menarik bagi kebanyakan peminat fotografi. Terdapat  pelbagai teknik untuk tujuan ini. Hasilnya bergantung pada tujuan foto dan kebolehan jenis kamera yang digunakan. Teknik "slow shutter" atau kelajuan shutter rendah yang saya paparkan disini adalah lebih menghala kepada artistik fotografi dan ini memerlukan kamera dslr. Seperti gambar di atas, teknik ini membuatkan pergerakan air menjadi seperti asap. Batu dan daun juga menjadi lebih jelas dengan pembentukan kontras yang lebih tepat. Tetapi menggunakan teknik ini, kelajuan shutter yang rendah menjadikan pengambilan gambar menggunakan tangan mejadi mustahil dan anda memerlukan tripod supaya imejnya jelas.

Aksesori yang di perlukan adalah:
  • Tripod: Ini adalah perlu untuk mengambil gambar dengan kelajuan perlahan.
  • Filter Circular Polarising: Perlu untuk menghilangkan bayangan silau (highlight) seperti cahaya matahari di air dan batu. Filter ini juga membantu menimbulkan warna (saturation) yang lebih kuat.

Berikut adalah EXIF data yang diperjelaskan:
  • F22: Ini adalah pilihan aperture yang digunakan. Aperture bukaan kecil ini adalah untuk memperlahankan kelajuan shutter.
  • 0.5s: kelajuan shutter yang digunakan adalah 0.5 saat.
  • ISO 100:pilihan iso yang rendah untuk memperlahankan kelajuan shutter. 
  • EV -2: Untuk memperbetulkan exposure yang terlalu cerah, menggunakan nilai "bracketing" -2.
  • AV mode: Pilihan setting kamera dengan menggunakan Aperture Value (AV), dimana segala kelajuan dan lain akan terbentuk dari pilihan aperture.
  • EOS 300D: Kamera yang digunakan adalah Canon EOS 300D. Tak perlu kamera mahal.

Selepas memasangkan kamera ke tripod, pastikan filter itu menghilangkan segala silauan yang terdapat di lokasi dahulu. Kemudian pastikan kamera di dalam mod AV dan pilihan aperture adalah F22. Siap semuanya, untuk memastikan tiada gegaran yang boleh merosakkan kejelasan imej, anda boleh menggunakan kabel "shutter release" atau pun "wireless remote control". Ini adalah supaya tangan anda tidak menyentuh kamera. Tetapi kalau tripod anda kukuh dan stabil, teruskan sahaja seperti biasa Yang terbaik, gunakan "exposure bracketing". Ambil sahaja gambar pada setiap nilai dari +2 hingga ke -2 sebagai insuran. Ini adalah untuk mengelakkan imej-imej anda dari terlebih atau terkurang cerah dan gelap. Tak perlu pening bila anda sudah pulang dan di hadapan komputer nanti.

Untuk seterusnya nanti saya akan memaparkan teknik mengambil gambar air terjun menggunakan kamera mudah (compact) yang biasa.