Pages

Kembara Fotografi ke Tasik Ahning, Kedah

Pemandangan dari puncak bukit.
Sekiranya anda berada di Kedah, salah satu destinasi menarik adalah Tasik Ahning. Ianya terletak di Padang Sanai, di sebelah utara Kedah. Jalannya adalah jalan yang sama untuk ke Durian Burung dari Kuala Nerang. Cuma di Padang Sanai, anda akan membelok ke jalan yang membawa anda ke pejabat MADA.

Untuk sampai ke sana, anda perlu mendaki bukit yang bersebelahan dengan pejabat MADA tersebut. Tetapi hanya kenderaan pacuan 4 roda dan motosikal yang mampu melalui jalan tersebut. Jalannya tidak rata dan terdapat lubang lubang yang tidak sesuai untuk kenderaan biasa.

Setelah mendaki dua bukit yang mengambil masa hanya 30 minit, anda akan sampai di puncak bukit dan anda akan nampak pemandangan tasik yang indah di bawah. Ini adalah peluang untuk fotografi yang tidak boleh di tolak. Masa yang sesuai untuk ini adalah di sebelah petang supaya matahari berada di belakang anda.

Terdapat pelbagai haiwan liar yang dapat anda lihat. Saya telah bertembung dengan lotong, kera, beruk dan pelbagai burung. Pernah saya berdiri di tepi gaung dan sekumpulan burung Enggang terbang dari bawah ke atas bukit tempat kami berhenti rehat.

Meneruskan perjalanan ke tasik, cuma terus mengikuti jalan tersebut menurun bukit. Anda akan sampai ke tasik selepas 20 minit kemudian.
Dari puncak bukit semasa menurun ke tasik.
Anda perlu berhati hati kerana anda berada di dalam hutan sepenuhnya. Tidak ada hotel, kedai makan ataupun sebarang penempatan. Kedai minyak terakhir adalah di Kuala Nerang, sebaiknya isilah minyak kenderaan sepenuhnya di situ. Begitu juga dengan air dan makanan. Perlulah di bawa secukupnya.

Kembara Fotografi ke Air Terjun Lata Bukit Hijau, Baling, Kedah...

Antara tempat kegemaran saya adalah Rekreasi Bukit Hijau yang terletak di Baling, Kedah. Air terjun ini adalah yang terbesar di Kedah. Terdapat 5 tingkat air terjun yang dapat anda lihat dan nikmati. Kawasan ini terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Inas. Terdapat juga haiwan seperti kera, burung dan pelbagai serangga untuk sesiapa yang meminati alam semulajadi.

Terdapat pelbagai kemudahan telah disediakan untuk pengunjung. Laluan kecil disediakan untuk membawa anda ke pelbagai tempat menyusuri sungai dan hutan. Juga terdapat kemudahan tandas, bilik salin pakaian dan surau untuk kegunaan anda.

Air terjun adalah subjek yang menarik untuk bahan fotografi kerana keindahannya dan juga cabaran untuk mengambil foto dengan teknik yang betul. 

Sekiranya anda dapat ke sana pada awal pagi selepas subuh, terdapat pelbagai haiwan yang dapat anda mengambil gambar seperti siamang merah. lotong, berjenis burung, tupai, rama-rama dan banyak lagi. Batasannya adalah hanya tenaga anda. Seeloknya anda mempunyai zoom lens dan unit flash yang mampu untuk jarak jauh. Selamat mencuba untuk semua...


Enhanced by Zemanta

Kembara Fotografi ke Penang Bird Park: Burung Kakak Tua..

Foto-foto di sini adalah dari lawatan saya ke Penang Bird Park di Pulau Pinang. Taman burung ini terletak di sebelah Butterworth. Ia adalah taman burung yang terbesar di Malaysia, dengan keluasan taman sebanyak 5 ekar. Terdapat lebih kurang 300 ekor spesis yang di pamirkan disini, 150 darinya adalah dari spesis tempatan. Terdapat sangkar-sangkar dan petak-petak untuk menempatkan burung burung yang pelbagai seperti enggang, helang, unta dan pelbagai.

Kebetulannya, saya baru sahaja mendapatkan kamera Canon Eos 5D mkii dan inilah kali pertama mencuba untuk mengambil foto diperjalanan. Lensa yang digunakan adalah Canon 24-70 F2.8L dan flash digunakan untuk menghilangkan bayang.

Burung kakaktua adalah subjek yang menarik untuk fotografi. Dengan pelbagai warna yang cantik dan juga telatahnya yang pelbagai menjadikan foto-foto yang diambil ceria. Juga mudah kerana tidak memerlukan lensa zoom  yang panjang kerana burung-burung itu sememangnya jinak.